Prebiu Perlawanan Persahabatan : Gelora Pantai Timur Berterusan.

Pertembungan persahabatan Kelantan dan T-Team di Stadium Sultan Muhamad Ke-IV, malam ini seperti biasa meneruskan kelangsungan permusuhan dua pasukan yang berlarutan sejak setahun lepas.

Pemergian tiga tonggak utama kepada pasukan lawan hampir dilupakan para penyokong selepas kejayaan demi kejayaan berjaya diraih dalam saingan Liga Malaysia 2011.

Tetapi, ia tidak bermakna sejarah kontroversi turut luput dari ingatan para Perwira Merah sementelah pemain yang pergi walaupun gagal menyumbang dengan baik kepada T-Team, mereka hadir hebat bila menunjukkan taraf untuk membenam Sang Kijang dalam dua perlawanan Liga Super.

Siapa tidak kenal Indra Putra, Norfarhan dan Azizi, tiga pemain ini menjadi nadi Kelantan ketika menjulang kejuaraan pertama Piala Malaysia dan mereka jugalah nadi T-Team ketika menewaskan The Red Warriors sama ada di tempat sendiri ataupun di tempat lawan.

Justeru itu, saingan persiapan kedua-dua pasukan di Kota Bharu bakal menjadi medan pertarungan sebenar seandainya ketua jurulatih pasukan, Datuk M. Karathu dan rakan sejawat, Yunus Alif mahu menurunkan kesebelasan utama masing-masing dalam perlawanan ini.

Klik gambar untuk paparan lebih besar
Untuk rekod perlawanan, Kelantan menewaskan T-Team menerusi sepakan penalti pada pusingan pertama Piala FA tetapi dikecewakan dua kali dalam Liga Super ekoran kejayaan T-Team menewaskan Sang Kijang 4-3 di Kuala Terengganu dan 2-1 timbal balik selepas itu.

Perlawanan persahabatan yang diatur disifatkan dapat memberi manfaat besar kepada kedua-dua pasukan untuk memantapkan pasukan sebelum sepak mula Piala Malaysia yang akan berlangsung kurang dari dua minggu dari sekarang.

Kelantan


Tiga perlawanan yang diatur di Lembah Klang berjaya diharungi dengan baik apabila mencatatkan tiga kemenangan penting selepas lama bercuti dari sebarang perlawanan kompetetif.

Cubaan Datuk M. Karathu menurunkan barisan simpanan untuk tiga perlawanan tersebut turut tidak menghampakan setelah mereka tampil cemerlang untuk membantu Sang Kijang menamatkan jelajah dengan nota gemilang walaupun sedikit hambar.

Bagi perlawanan dengan T-Team, jangkaan kesebelasan utama akan digunakan Karathu pada permulaan babak pertama untuk melihat sejauh mana pemain "regular" dapat memberi sumbangan kepada pasukan.

Ketiadaan Khairul Fahmi Che Mat dan Norhadi Ubaidillah yang berada bersama skuad Malaysia tidak begitu dirasai selepas dua penjaga gol berpengalaman, Shahrizan Ismail dan Halim Napi memberi aksi kemas dalam perlawanan persahabatan sebelum ini. Dijangkakan Shahrizan akan berada di posisi pertama pada permulaan babak sebelum digantikan Halim pada babak kedua.

Barisan pertahanan turut tidak menghampakan dalam tiga "Friendly" yang diatur sebelum ini apabila persembahan hebat mereka telah membantu Kelantan tidak bolos ketika melayan aksi Kuala Lumpur, Selangor dan Polis DRM. Pada perlawanan dengan T-Team, dijangka barisan bawah akan diketuai S. Subramaniam dan Rizal Fahmi Rosid manakala bahagian pertahana tepi kiri kanan turut diberikan kepada pemain utama, Daudsu Jamaludin dan Aziz Ismail. Ketiadaan Zairul akibat cedera memberi ruang kepada Aziz bermain selaku pemain utama. Pemain simpanan pula seperti Nik Shahrul Azim dan Wan Rohaimi diletakkan di bangku simpanan.

Jentera tengah seperti kebiasaan meletakkan Badri Radzi selaku ketua pasukan. Pemain ini dijangka akan digandingkan dengan Shakir Shaari, S. Chanturu dan Nurul Azwan Roya. Beberapa pemain seperti Solehin Kanasian, Danial Fadhli serta turut diberi prospek "first 11" manakala Wan Zaman, Khairan Eroza dan Khairan Ezuan serta Khairul Izuan Rosli bakal memanaskan bangku simpanan buat seketika.

Posisi serangan tiada masalah besar kepada Kelantan kerana Azamuddin Akil dan R. Surendran yang dipinjam sudah mula menunjukkan keserasian dengan pemain lain. Terutamanya Azamuddin, gandingan hebat dengan Norshahrul telah membuka mata ramai pihak bahawa bahagian serangan Sang Kijang semakin tajam dan mantap. Malahan, kehadiran dua pemain ini telah membuka ruang kepada pemain serangan lain seperti Nidzad Ayub dan Ramzul beraksi cemerlang sepanjang perlawanan yang telah diatur.

T-Team Fc


Sasaran layak ke final Piala Malaysia 2011 wajar dipenuhi pihak kejurulatihan "The Young Turtle's". Tekanan berpihak kepada mereka menyebabkan perlawanan persiapan dengan Kelantan menjadi medan mencari seberapa banyak kelemahan sebelum turun aksi perlawanan pertama. Untuk pertemuan persahabatan dengan Kelantan, dikhabarkan anak buah Yunus Alif kini 100% cergas.

Mereka melakukan beberapa perlawanan persahabatan sebelum aksi dengan Sang Kijang dan tekad dari pasukan T-Team untuk mencari skuad bayangan untuk saingan Piala Malaysia.

Bagi kesebelasan utama T-Team, saingan di posisi nombor satu ataupun di bahagian penjaga gol semakin sengit selepas kehadiran penjaga gol pinjaman dari Pos FC, Mohd Jibrail Kamaron. Sebelum ini, T-Team mengharapkan sentuhan Syamsuri Mustapha selaku penjaga gol utama namun masalah kecederaan berterusan selain prestasi tidak konsisten dua penjaga gol simpanan memaksa mereka mendapatkan Jibrail untuk mengisi sementara kubu paling bawah skuad berpengkalan di Kuala Terengganu itu.

Bagi bahagian pertahanan, sukar untuk jangkaan kesebelasan utama kerana pasukan ini memiliki barisan pengalaman dan muda yang dapat diturunkan dalam kesebelasan utama. Pemain seperti Rosdi Talib mungkin mengetuai bahagian pertahanan bersama dengan Azizi Mat Rose, Shahrul Ezrain dan Hasbullah Awang. Mereka turut memiliki pemain seperti Norfazly Alias dan Subri Sulong manakala beberapa pemain muda dari skuad simpanan turut berpeluang disenaraikan andai Yunus Alif mahu gabungan terbaik di posisi benteng.

Jentera serangan, tidak ragu-ragu Indra Putra Mahayuddin dan Norfarhan Mohamad terus disenaraikan selaku pemain utama manakala dua tempat lagi mungkin menyenaraikan Zairo Annuar dan Tengku Hasbullah. Selain mereka, Rosli Muda, Shaiful Azrin turut layak disenaraikan selaku pemain kesebelasan utama.

Posisi serangan, tidak asing lagi gandingan Haris Safwan dengan Fitri Omar yang dipinjam dari Mp Muar bakal dipertaruhkan untuk merobek gawang Sang Kijang malam nanti. Fitri menjadi rebutan ramai pasukan namun bertindak memilih T-Team untuk memperagakan aksi sempena Piala Malaysia kali ini. Kegagalan mendapatkan Faiz Subri dari Perlis tidak ditangisi kerana mereka mempunyai ramai pemain berkaliber di bahagian serangan dimana pemain simpanan seperti Kamal Rodiarjat, Khairul Izwan dan Saufi Saa'di turut boleh diharapkan jika mendapat peluang didalam pasukan utama. -RedsfcNews-

Photo:
Oren Kecik Graphic
Shazli Shamsudin Photography
J Photography

Share on Google Plus

About RedsFC

This is a short description in the author block about the author. You edit it by entering text in the "Biographical Info" field in the user admin panel.

1 ulasan:

Anonymous said...

Keputusan perlawanan persahabatan yang dilangsungkan bulan Ramadhan tidaklah menggambarkan senario kekuatan sebenar.

Perlawanan pemanas badan yang lebih bermotifkan pengekalan kecergasan.

Kemenangan Kelantan di Lembah Kelang tidak boleh dijadikan kayu pengukur mutlak dalam menilai kekuatan sebenar Kelantan untuk mengharungi pusingan Piala Malysia