Tugas Sukar Skuad Olimpik.


Cabaran sukar akan dihadapi skuad muda Malaysia menentang Lebanon dalam perlawanan pertama pusingan kedua kelayakan Olimpik 2012 di Stadium Sport City, Beirut, malam ini.

Turun selaku pasukan "underdog", Malaysia bakal diberi tentangan sengit tuan rumah yang turut bercita-cita untuk lepas ke peringkat seterusnya.

Untuk catatan semasa, sedikit kegusaran di kem Malaysia selepas menunjukkan prestasi merudum ekoran dua kekalahan terakhir dalam perlawanan persahabatan.

Kalah tipis kepada Kemboja, dan dibelasah tanpa balas oleh Qatar menunjukkan persiapan skuad Olimpik sedikit terganggu dengan lawan yang bakal mereka hadapi malam ini.


Lebanon bukan calang-calang lawan sementelah pula mereka menewaskan Qatar, lawan yang membelasah Malaysia baru-baru ini.

Prestasi tidak baik yang ditunjukkan pemain Malaysia diharap tidak berlarutan dan dalam perlawanan yang akan berlangsung perlu mereka hadapi dengan berani.

Berdasarkan pemerhatian, Skuad Olimpik Malaysia dilihat ketandusan idea apabila melakukan serangan kearah kubu pasukan lawan dengan pemain penyerang Izzat Faris dan Syahrul Azwari masih gagal menemui penyudah berkesan.

Posisi tengah masih mengharapkan pemain regular seperti Wan Zaharul Nizam untuk mengatur gerakan merobek gawang lawan. Andai pihak lawan menggunakan taktikal "man marking", jentera tengah menjadi lemah dan sering kehilangan bola kepada pasukan lawan. Ini membuatkan aturan serangan mereka sering terbantut memaksa jentera pertahanan Skuad Olimpik Malaysia terpaksa bekerja keras menahan asakan dari pasukan lawan.


Diharapkan persiapan lebih seminggu yang dijalani di Qatar termasuk satu perlawanan persahabatan yang diatur dapat digunakan sebaik mungkin untuk menjulang kejayaan. Jikalau berat untuk mencatatkan kemenangan, pemain skuad Olimpik yang diketuai Khairul Fahmi Che Mat harus sedaya upaya mempertahankan pintu gol mereka dari bolos besar.

Sasaran satu gol Ong Kim Swee keatas Lebanon dilihat realistik andai mereka hadir untuk menyerang dan pantas bertahan namun sekiranya melepaskan gol-gol mudah kepada lawan, perubahan perlu dilakukan segera bagi mengelakkan kesukaran untuk mengejar bila bermain di Kuala Lumpur.

Mahu tidak, persembahan cemerlang perlu digarap pemain dengan mengharapkan corak taktikal Ong Kim Swee berjaya memerangkap tuan rumah. Minimakan kesilapan, tidak mustahil pasukan Olimpik bakal pulang dengan kejayaan cemerlang.
Share on Google Plus

About RedsFC

This is a short description in the author block about the author. You edit it by entering text in the "Biographical Info" field in the user admin panel.

0 ulasan: